ini blog khairul sahban

Sila buat mcm rumah sendiri...

Monday 4 April 2011

PERBADANAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL DITANGGUHKAN "PPSPPA" (AKTA 672)

LAPORAN BERNAMA,


KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkenaan diminta melunaskan tunggakan bayaran perkhidmatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PSP&PA) kepada syarikat konsesi berkaitan yang dianggar berjumlah RM348.6 juta sejak 13 tahun lepas.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semua tunggakan hutang tersebut perlu dilunaskan sebelum Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dikuatkuasakan tahun depan.

"PBT yang masih menanggung hutang atau bayaran perkhidmatan tertunggak kepada syarikat konsesi ini kita minta mereka menjelaskan sebelum ianya diambil alih oleh kementerian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pengurusan Sisa Pepejal (Akta 672) di sini, Rabu

Muhyiddin berkata, perkara itu antara yang telah dipersetujui di dalam mesyuarat berkenaan yang bertujuan membincangkan hala tuju pelaksanaan sektor pengurusan sisa pepejal kebangsaan.

"Aspek pengurusan sisa pepejal ini amatlah penting dan sekian lama telah tertangguh. Secara keseluruhannya semua setuju cuma ada beberapa negeri sahaja minta untuk mengadakan rundingan secara terperinci sebelum mereka menyertai program pengambilalihan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.

Muhyidin berkata, selain itu, mesyuarat hari ini turut bersetuju supaya kerajaan negeri dan PBT terus membuat bayaran perkhidmatan PSP&PA atas kadar sedia ada kepada Kerajaan Persekutuan.

"Sebarang kenaikan kadar apabila penswastaan penuh dilaksanakan akan ditampung oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.

Mesyuarat, katanya, juga bersetuju supaya kerajaan Negeri, PBT dan kerajaan Persekutuan menandatangani perjanjian bersama berhubung bayaran perkhidmatan PSP&PA itu.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, mesyuarat juga bersetuju supaya semua kontraktor perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam sedia ada di PBT dinovasi kepada syarikat konsesi yang berkaitan sebelum akta berkenaan dikuatkuasakan.

Katanya, mereka juga bersetuju bahawa tapak-tapak pelupusan milik PBT yang sedia ada digunakan oleh Kerajaan Persekutuan, katanya.

Sementara itu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di dalam siaran medianya berkata, semua keputusan mesyuarat itu dipersetujui oleh semua Kerajaan Negeri kecuali Pulau Pinang, Perak dan Selangor yang memohon ditangguhkan keputusan bagi membolehkan Kerajaan Negeri memperhalusi perkara-perkara yang disyorkan.

Mesyuarat hari ini telah membentangkan empat kertas kerja oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara dan Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam termasuk 'Pengambilalihan Fungsi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pengurusan Awam oleh Kerajaan Persekutuan melalui Penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007'.

'Status Projek-projek Pengurusan Sisa Pepejal Yang dilaksanakan Oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Kesepuluh (RMK-10), 'Kriteria Pemilihan Tapak bagi Tujuan Pembangunan Kemudahan Pengurusan Sisa Pepejal' dan 'Persediaan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) ke atas pelaksanaan Akta 672'.



-- BERNAMA

Labels:

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

mintak2 ppsppa ni jangan la ada ape-ape beb! sbb ppsppa periuk nasi aku....

25 April 2011 at 08:58  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home